KUALA TERENGGANU – Gara-gara terpersona dengan tawaran keuntungan kononnya 400 peratus, seorang pengurus sebuah kedai borong berputih mata kerugian RM81,050 diperdaya skim pelaburan tidak wujud.
Lelaki berusia 46 tahun tersebut yang baru menyedari dirinya tertipu telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini pada pukul 10.29 pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, mangsa mendakwa telah dihubungi seorang wanita yang menawarkan skim pelaburan tersebut pada pukul 3 petang, 27 April lalu.
“Suspek menawarkan skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan sehingga 400 peratus.
“Mangsa yang berminat kemudiannya telah dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp sebelum diajar tatacara pembelajaran serta analisa pelaburan berkenaan,”katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Azli berkata, pengurus kedai borong terbabit kemudiannya bersetuju membuat pelaburan keseluruhan sebanyak RM81,050.
Beliau berkata, pelaburan itu dimasukkan dalam lapan transaksi ke dalam akaun bank diberikan suspek antara 1 Mei hingga 22 Mei lalu.
“Begitupun mangsa bukan sahaja tidak mendapat keuntungan dijanjikan, malah turut disekat daripada kumpulan WhatsApp pelaburan berkenaan.
“Dia yang tidak lagi dapat berkomunikasi dengan pengendali pelaburan tersebut sedar dirinya tertipu,”katanya.
Azli berkata, kes sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – https://amiminerals.org/