JAKARTA – Penduduk sebuah kampung di Trenggalek, wilayah Jawa Timur gempar dengan penemuan seorang bayi yang dibuang di kawasan semak dalam sebuah kebun, lapor laman berita Tribunnews semalam.
Bayi perempuan tersebut ditemui oleh penduduk bernama Sumiran, yang terdengar bunyi tangisannya awal pagi kelmarin.
Sumiran dan seorang lagi penduduk, Sulasmi kemudian menghampiri arah bunyi tangisan tersebut sebelum mereka menemui bayi di dalam kotak yang ditutup dengan guni.
Bayi itu dibalut dengan kain batik dan masih mempunyai tali pusat pada badannya.
Menurut Ketua Kampung Ngrayung, Adi Santoso, bayi itu dipercayai diletakkan di situ sejak Sabtu lalu.
“Pada pukul 2 petang (waktu tempatan), ada penduduk melihat seorang lelaki tidak dikenali menaiki motosikal mundar-mandir di sekitar kebun tersebut,” ujarnya.
Tambah Adi, kira-kira sejam kemudian, seorang penduduk terdengar bunyi tangisan bayi dekat lokasi tersebut, namun dia berlalu dari situ kerana ketakutan.
Ujarnya lagi, terdapat juga penduduk lain yang melalui kawasan kebun itu mendengar bunyi tangisan bayi tersebut pada waktu malam, namun tidak menghiraukannya.
“Pada keesokan paginya, Sumiran menemukan bayi tersebut kira-kira pukul 5 pagi (waktu tempatan),” jelasnya.
Menurut Adi, bayi itu diletakkan berhampiran dengan sebuah perigi.
“Alhamdulillah, bayi tersebut dalam keadaan sihat dan dibawa ke pusat kesihatan setempat sebelum dihantar ke hospital Trenggalek,” katanya. – AGENSI