KDNK MALAYSIA DIUNJUR NAIK 4.9 PERATUS PADA 2025– FIRMA PENYELIDIKAN

2a6ecafff4110c61065ef2c98dea3946676102e699b00

KUALA LUMPUR, 17 Dis (Iteenews) — Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia diunjur berkembang sebanyak 4.9 peratus pada 2025, didorong oleh faktor dalaman dan dipengaruhi oleh ketidakpastian ekonomi global, menurut firma penyelidikan.

Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata unjuran ini menandakan penyederhanaan daripada pertumbuhan sebanyak 5.2 peratus dicatatkan pada sembilan bulan pertama 2024, yang dikaitkan dengan interaksi antara faktor dalaman yang kukuh serta cabaran luaran berkaitan dengan perkembangan global.

Ia juga termasuk kemungkinan perubahan dasar perdagangan di bawah jawatan presiden kali kedua, Donald Trump.

\”Dua faktor domestik utama yang mendorong ekonomi Malaysia. Pertama, kitaran pelaburan negara tetap kukuh yang dicerminkan dalam pertumbuhan pembentukan modal tetap kasar yang konsisten.

\”Momentum yang berterusan dalam pelaburan yang diluluskan sejak 2021 kini diterjemahkan kepada peningkatan pelaburan sebenar dan yang telah direalisasikan.

\”Ini selaras dengan aliran meningkat dalam kadar pelaksanaan pelaburan pembuatan yang diluluskan, peningkatan import barangan modal serta pinjaman sistem perbankan yang lebih tinggi untuk bangunan perindustrian dan pendapatan korporat,\” katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Keduanya, Maybank IB mengunjurkan langkah peningkatan pendapatan dalam Belanjawan 2025 yang akan mendorong perbelanjaan pengguna seperti semakan gaji dan pencen perkhidmatan awam yang melibatkan peruntukan tambahan sebanyak RM12.3 bilion untuk bayaran gaji serta pencen dalam perbelanjaan operasi Kerajaan Persekutuan.

Selain itu, terdapat juga pemberian wang tunai yang lebih tinggi kepada golongan berpendapatan rendah, peningkatan, lanjutan dan penambahbaikan dalam pengecualian cukai pendapatan peribadi serta kenaikan gaji minimum bulanan kepada RM1,700 daripada RM1,500.

Dalam nota penyelidikan berasingan, Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) pula berkata unjuran ini, yang sedikit lebih rendah daripada 5.0 peratus pada 2024 adalah dalam persekitaran global yang mencabar tetapi masih dalam julat sasaran kerajaan iaitu antara 4.5 peratus hingga 5.5 peratus.