MVV 2.0 BANTU NEGERI SEMBILAN JADI NEGERI EKONOMI BERPENDAPATAN TINGGI – AMINUDDIN

a59ea15e1b80f53df622e5d2c1987ee26761693693a19.

SEREMBAN, 17 Dis (Iteenews) — Projek Lembah Wawasan Malaysia 2.0 (MVV 2.0) bakal menjadi pemangkin bagi mentransformasikan Negeri Sembilan sebagai negeri dengan ekonomi berpendapatan tinggi, kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau berkata MVV 2.0 yang meliputi Seremban dan Port Dickson dengan keluasan kira-kira 378,000 ekar itu berpotensi memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan, inklusif dan inovatif yang sekali gus  mentakrifkan semula cara hidup dan bekerja dalam negeri serta negara maju.

Katanya projek tersebut merupakan pembangunan kawasan perbandaran pertama dalam konurbasi MVV 2.0 bagi mentransformasikan negeri itu sebagai lokasi strategik untuk menarik minat pelabur tempatan dan antarabangsa.

“Pembangunan ini dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat di samping menjamin masa depan sosioekonomi negeri.

“Ia dirancang sebagai pemacu strategik kemajuan ekonomi Malaysia selaras dengan dasar jangka panjang Kerajaan Persekutuan termasuk Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan Revolusi Industri 4.0,” katanya dalam ucapan pada Majlis Pecah Tanah MVV City di sini hari ini.

Beliau berkata pembangunan MVV 2.0 ialah pemangkin utama bagi menarik pelaburan industri bernilai tinggi dan memperkukuh sektor pelaburan hijau, pembuatan berteknologi tinggi dan logistik yang menjadi teras kepada pertumbuhan negara.

Secara keseluruhannya, Aminuddin berkata sektor tersebut akan membentuk ekosistem yang  dilengkapi dengan ketahanan dalam menghadapi cabaran ekonomi dan mempertingkatkan kualiti hidup rakyat.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Infrastruktur, Utiliti dan Kemudahan Awam negeri berkata pembangunan itu turut meletakkan Negeri Sembilan sebagai antara pemangkin utama kepada pertumbuhan ekonomi negara dan serantau pada masa akan datang.

Dalam pada itu, beliau berkata projek MVV City yang berkeluasan 2,382 ekar bagi fasa pertama itu merangkumi beberapa sektor pembangunan termasuk perumahan, komersial, industri dan pusat pendidikan serta inovasi.