Datuk Seri Anwar Ibrahim
SHAH ALAM, 15 Dis (Iteenews) — Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengesahkan terdapat perbincangan awal berhubung penyertaan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ke dalam parti itu.
Perdana Menteri berkata PKR bersikap terbuka terhadap penyertaan mana-mana individu termasuk Tengku Zafrul ke dalam PKR asalkan individu berkenaan boleh menyumbang kepada parti.
“Prinsipnya kita ambil sikap terbuka, orang yang boleh beri sumbangan pada parti tapi dengan (kemasukan) cara baik supaya hubungan kita dengan parti-parti (lain) termasuk UMNO (tidak terjejas),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kongres Nasional Khas PKR di sini hari ini.
Sebelum ini media melaporkan dakwaan bahawa Tengku Zafrul akan meninggalkan UMNO dan menyertai PKR, selain dakwaan bahawa beliau akan menerajui Selangor menggantikan Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari yang akan ke Kabinet (Persekutuan).
Mengulas lanjut, Anwar menegaskan PKR tidak mengamalkan budaya mengajak orang lain (ahli parti lain) menyertai parti tetapi sedia berbincang kerana parti itu mengamalkan sikap terbuka.
Beliau berkata dalam sejarah parti, ada pemimpin PKR pernah menjadi Setiausaha Agung Amanah dan ada juga yang keluar menyertai DAP.
“Jadi berhubung dengan Keadilan (PKR), selama ini kita (sememangnya) buka ruang tapi selalunya kita runding dengan baik,” katanya.
Terdahulu, Anwar menghadiri kongres itu yang antara lainnya bertujuan untuk meminda perlembagaan parti.