KUALA TERENGGANU – Terengganu dijangka bakal mengalami gelombang banjir seterusnya esok ekoran fenomena air pasang besar dan hujan lebat berterusan yang diramal berlaku sehingga Khamis ini.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Hanafiah Mat berkata, empat daerah paling berisiko dilanda banjir iaitu Kemaman, Besut, Setiu dan Hulu Terengganu.
“Penduduk yang menetap dalam lingkungan kira-kira lima kilometer dari lembangan sungai utama di empat daerah berkenaan paling berisiko terjejas banjir.
“Sehubungan itu, mereka dinasihatkan sentiasa berwaspada dan mendengar arahan pihak berkuasa sepanjang tempoh tersebut,”katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Hanafiah berkata, kawasan paling berisiko banjir di Besut ialah Kampung Pok Sik, Kampung Belaoh, Felcra Keruak Kampung La, Chegar Batang, Pasir Akar, Jerubun, Bukit Payung serta Batu 13.
Selain itu, katanya, Padang Kubu, Pelantoh, Kampung Tebak, Batu 16 Tebak dan Kampung Sungai Mas, Kemaman juga berkemungkinan terjejas.
“Saya juga menasihatkan penduduk Paloh Nyior, Bukit Taduk, Kampung Matang, Kepah, Pasir Dula, Tengkawang, Kuala Ping, Tok Lawit, Nibong, Kuala Telemong, Hulu Terengganu turut berwaspada.
“Selain itu, kawasan lain di Hulu Terengganu yang turut berisiko ialah Sekayu, Pelandan, Cheting, Menjing, Durian Bador, Padang Setar, Kampung Pengkalan Ajal, Paya Besar, Menerong, Kua, Peneh, PPSK Gunung Menerong, Lenjang dan Kampung Betong,”jelasnya.
Hanafiah berkata, bagi Setiu pula, Kampung Langkap, Kampung Chalok Kedai, Batu 29, Gong Terap, Lubuk Panjang dan Felda Kampung Rahmat dikhuatiri dilanda bah. – https://amiminerals.org/