Bimbang tertimbus lumpur tanah disodok pekebun sayur

lead 1 7

ADUN (kiri) bersama penduduk menunjukkan kebun sayur yang berisiko menyebabkan terjadi bencana alam ketika musim tengkujuh di Kampung Jedip, Pos Brooke, Gua Musang semalam.

GUA MUSANG – Lebih 3,000 penduduk Orang Asli yang tinggal di kawasan berhampiran kebun di Tanah Tinggi Lojing, di sini terdedah dengan risiko banjir lumpur, hakisan bukit dan tanah runtuh ketika musim tengkujuh.

Ketua Kampung Jedip, Pos Brooke, Adun Sayang, berkata, pihak berkuasa seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan kerajaan negeri diharap dapat memantau selain menangguhkan aktiviti pertanian berisiko bagi mengelak kejadian buruk.

“Setiap tahun penduduk Orang Asli yang tinggal berdekatan kebun berasa tidak selamat apabila diancam hakisan dan banjir lumpur setiap kali hujan.

“Sekarang musim hujan kami tidak boleh guna air sungai ke­rana warnanya kekuningan dan kotor kesan aktiviti pertanian.

“Kita harap pekebun yang mengusahakan tanah pertanian di belakang perkampungan dapat hentikan atau kurangkan aktiviti musim tengkujuh,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Seorang penduduk, Rajis A­ngah, 50, berkata, setiap kali hujan lebat mereka tidak lena tidur kerana bimbang ditimbus lumpur tanah.

“Masalah yang dihadapi itu bukanlah perkara baharu apabila penduduk terdedah risiko setiap tahun. Hujan lebat menyebabkan hakisan tanah yang boleh membawa sisa lumpur di sekitar pe­nempatan kami. Kami takut jika rumah kami ditimpa runtuhan.

“Sebelum ini, batu dan sisa kayu akibat aliran banjir lumpur pernah memenuhi permukaan jalan raya Gua Musang-Lojing. Kami harap pekebun dapat hentikan kerja pertanian buat sementara waktu dan biasanya kami Orang Asli yang akan jadi mangsa keadaan sekiranya berlaku bencana alam,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim me­ngakui penempatan Orang Asli di sekitar kawasan pertanian berisiko tinggi kepada ancaman tanah runtuh dan banjir lumpur.

“Antara kampung Orang Asli yang berisiko ialah Kampung Lojing, Kampung Jedip, Kampung Sengsang, Kampung Jekjok, Kampung Brooke Lama, Kampung Sangwai dan Kampung Sendrop,” katanya. -https://amiminerals.org/