SINGAPURA – Seorang penunggang motosikal terperangkap di bawah lori selama 30 minit dalam nahas melibatkan beberapa buah kenderaan di sebuah lebuh raya Singapura, lapor portal berita asiaone hari ini.
Menurut polis dan Pasukan Pertahanan Awam, kemalangan kelmarin itu membabitkan sebuah bas mini, sebuah motosikal dan sebuah lori. Nahas berlaku di lebuh raya menghala ke Tuas berhampiran susur keluar Jalan Bahar, kira-kira pukul 2.05 petang.
Seorang lelaki dikenali sebagai Zhang memberitahu akhbar Shin Min Daily News bahawa penunggang motosikal itu tidak dapat bergerak selepas terperangkap di bawah lori.
Gambar menunjukkan motosikal itu remuk di hadapan lori berkenaan.
Satu lagi gambar menunjukkan sebuah kereta berwarna biru tersepit di antara dua buah kenderaan.
Pasukan pertahanan awam memberitahu, penunggang motosikal itu diselamatkan dengan menggunakan peralatan menyelamat hidraulik.
Polis berkata, tiga lelaki iaitu pemandu kereta, pemandu bas mini dan penunggang motosikal yang masing-masing berumur antara 26 hingga 49 tahun telah dihantar dalam keadaan sedar ke hospital.
Polis masih menyiasat kejadian itu. – AGENSI