MAIWP beri insentif RM500, peruntuk RM1.67 bilion untuk bajet 2025

WhatsApp Image 2024 12 12 at 15.58.13 1

Mohd. Na\’im pada sidang akhbar Majlis Pengumuman Bajet MAIWP 2025 di Menara MAIWP, hari ini. Foto oleh M. FIRDAUS M. JOHARI/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memperuntukkan bajet sebanyak RM1.67 bilion bagi 2025 selari dengan Pelan Tranformasi Hal Ehwal Agama Menuju Malaysia Madani.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd. Na’im Mokhtar berkata, anggaran perbelanjaan itu menunjukkan peningkatan sebanyak 4.43 peratus berbanding 2024 yang berjumlah RM1.603 bilion.

Menurut Mohd. Na’im, daripada jumlah itu, sebanyak RM1.341 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan agihan, mengurus (RM246 juta) manakala RM87 juta bagi pembangunan.

“MAIWP memberi dua fokus utama dalam perbelanjaan agihan iaitu pemerkasaan dan kesejahteraan asnaf serta pemerkasaan modal insan melalui pendidikan.

“Fokus perbelanjaan mengurus memberi penekanan kepada aspek kecekapan dan peningkatan mutu perkhidmatan MAIWP selari dengan teknologi Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0).

“Selain itu, perbelanjaan pembangunan merangkumi aktiviti fizikal hartanah, pembelian aset serta pelaburan yang dapat memberi manfaat kepada kesejahteraan ummah di Wilayah Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Pengumuman Bajet MAIWP 2025 di Menara MAIWP, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd. Na’im berkata, anggaran pendapatan MAIWP bagi 2025 adalah sebanyak RM1.55 bilion, meningkat 12 peratus daripada RM1.395 bilion yang dicatatkan pada 2024.

“Pada 2025, MAIWP menyasarkan kutipan zakat sebanyak RM1.2 bilion melalui Pusat Pungutan Zakat (PPZ) MAIWP,” jelasnya.

Sehubungan itu, MAIWP juga menyediakan bajet defisit berjumlah RM117.12 juta melebihi jumlah anggaran pemdapatan yang disasarkan.

“Peruntukan besar ini adalah mengambil kira keadaan ekonomi semasa serta isu miskin bandar khususnya di Wilayah Persekutuan yang menjadi keutamaan MAIWP,” katanya.

Tambahnya, MAIWP juga akan memberikan insetif khas secara ‘one-off’ kepada golongan asnaf di Wilayah Persekutuan bagi peruntukan 2024.

“Setiap seorang akan menerima RM500 melibatkan 33,000 penerima bantuan kewangan bulanan dengan kos sebanyak RM16.5 juta.

“Bantuan ini akan disalurkan selewat-lewatnya pada 31 Disember ini,” ujarnya. – https://amiminerals.org/