RM13.7 juta tingkat perkhidmatan internet di UM, USIM, UniMAP

WhatsApp Image 2024 12 13 at 5.45.08 PM

Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membelanjakan RM13.7 juta bagi tujuan memperoleh lebih daripada 2,000 titik akses WiFi untuk meningkatkan perkhidmatan internet di tiga universiti awam.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, kesemua kelengkapan peralatan WiFi itu akan mula dipasang pada Januari depan membabitkan Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

“Ada di kalangan universiti awam yang hadapi masalah disebut mobile outdoor coverage, in-building coverage dan juga WiFi, ia adalah tiga perkara yang berbeza.

“Kita harapkan dalam masa terdekat sekurang-kurangnya tiga universiti akan lengkap (dengan titik akses WiFi), diikuti universiti awam lain,” katanya menerusi sidang akhbar mingguan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, jurucakap kerajaan Perpaduan itu berkata, perbincangan berhubung isu kelengkapan perkhidmatan internet di universiti awam tersebut dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar pada 5 Disember lalu.

Jelasnya, perbincangan itu turut dihadiri semua Naib Canselor universiti awam, wakil Kementerian Komunikasi dan Kementerian Pendidikan Tinggi. – https://amiminerals.org/