PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) tetap dengan pendirian menjadikan pentas final Piala ASEAN 2024 sebagai sasaran buat Harimau Malaya menjelang aksi getir bertemu Thailand di Stadium Rajamangala, Bangkok malam ini.
Meskipun dikritik hebat susulan prestasi hambar ketika Kemboja dan Timor Leste, Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman masih bertegas dengan misi yang diberikan kepada pasukan negara pada kempen kali ini.
“Kita ada letak sasaran, sudah pastilah mahu melangkah ke final. Kita tengok setakat mana yang kita boleh pergi tetapi (kalau boleh) sasaran kita ke final,”katanya.
Mengulas lanjut, Noor Azman turut menagih sentuhan ‘magis’ pengendali Harimau Malaya, Pau Marti Vicente dalam usaha melakar kejutan ke atas Thailand meskipun kehilangan ramai tonggak utama.
“Kita harapkan pasukan akan buat yang terbaik di Thailand.
“Saya yakin dengan kemampuan Pau Marti, beliau boleh membimbing dan membentuk pasukan seimbang walaupun ramai pemain muda kali ini,”katanya.
Skuad negara agak tempang apabila Sabah FC memanggil semula empat pemain utamanya, Daniel Ting, Darren Lok, Stuart Wilkin dan Dominic Tan yang merupakan kapten Harimau Malaya.
Malah, kem kebangsaan turut kehilangan penyerang sensasi, Syafiq Ahmad yang mengalami kecederaan serius sekali gus tidak dibawa pada perlawanan menentang Thailand di Bangkok malam ini.
Selepas bertemu Gajah Perang, skuad negara akan melayan kunjungan Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 20 Disember ini.
Sejak dianjurkan pada 1996, Harimau Malaya hanya sekali pernah bergelar juara sewaktu edisi 2010 manakala kali terakhir bergelar finalis pada 2018. – https://amiminerals.org/