KLUANG – Tindakan pantas polis berjaya menyelesaikan kes kecurian lori minyak sawit selepas pelakunya ditahan tidak sampai lapan jam selepas kejadian.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, suspek ditangkap pada pukul 6 petang di bandar Kluang selepas mangsa membuat laporan pada pukul 9 pagi semalam.
Sebelum itu, polis menerima laporan daripada pemilik lori yang memaklumkan kenderaan muatan 44,900 liter minyak sawit miliknya yang diletakkan berhampiran kilang memproses minyak sawit di daerah ini ‘lesap’.
“Susulan tangkapan ke atas lelaki tempatan berusia 36 tahun itu, kita menjumpai wang RM60,000 dipercayai hasil minyak sawit yang dijual.
“Lori tersebut turut ditemui, namun minyak sawit yang bernilai RM243,000 didalam tangki lori itu sudah tiada,”katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang di sini hari ini.
Menurut Bahrin, suspek direman sehingga 15 Disember ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan. – https://amiminerals.org/