KUALA LUMPUR – Majlis Amanah Rakyat (Mara) tidak memilih bulu dalam mengambil tindakan terhadap peminjam yang gagal membayar semula pinjaman yang dibuat.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan ke atas peminjam degil dibuat kerana Mara memerlukan modal pusingan bagi memberi peluang kepada peminjam lain untuk memajukan bidang masing-masing.
“Apa yang dilakukan bukan hanya sekadar tindakan undang-undang penyitaan wajib dilakukan sebab pinjaman bukan geran atau bantuan, tetapi perlu dibayar balik.
“Jadi dalam perkara ini kita tidak memilih bulu untuk mengambil tindakan kerana ia adalah wang rakyat daripada pembayar cukai,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MOA) antara Mara Incorporated Sdn. Bhd., Felcra Berhad dan Privabytes Sdn. Bhd..
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, Mara sebelum ini berjaya menurunkan peratusan pinjaman tidak berbayar yang melebihi 10 peratus.
“Dari segi NPL (Non Performing Loan), Mara berjaya turunkan yang satu ketika berada di tahap double digit (dua angka), lebih 10 peratus, kini menurun kepada single digit (satu angka).
“Walaupun kita belum berpuas hati, namun kita mempunyai usaha bukan sahaja memberi pinjaman, tetapi melakukan penyeliaan, latihan dan membuat tindakan susulan.
“Memang ada dalam kalang peminjam dalam kategori ‘defaulters’ dan tidak merujuk kepada individu, kumpulan ini memang ada,” katanya.
Semalam, Kosmo! melaporkan wakil Mara menyerbu sebuah banglo milik pelakon terkenal di Kota Damansara, Petaling Jaya selepas dipercayai gagal melunaskan pinjaman Mara berjumlah hampir RM1 juta. – https://amiminerals.org/