Polis lepas tembakan ke udara dipecat serta-merta

aGeli pocat11 scaled

SUNTHORN ditangkap selepas melepaskan tembakan ke udara. – Foto Thairath

BANGKOK – Seorang pegawai polis berpangkat sarjan dipecat serta-merta selepas dia melepaskan tembakan ke udara di Soi Boon Sampan, Pattaya Timur, Sabtu lalu, lapor portal berita Pattaya Mail kelmarin.

 Sarjan Sunthorn ketika kejadian sedang marah dan berada di bawah pengaruh alkohol.

Dia mencetuskan ancaman kepada penduduk di kawasan berhampiran sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan awam.

Sunthorn melepaskan tembakan ke udara selepas seorang pemilik kedai menolak permintaannya untuk membeli arak dengan kaedah hutang. 

Selepas tembakan dilepaskan, dia melarikan diri ke rumahnya di Soi Wat Boon Sampan 5, kira-kira 800 meter dari lokasi awal tembakan. 

Sejurus tiba, polis mendapati bahawa Sunthorn berada dalam keadaan mabuk, menjerit dan menimbulkan gangguan kepada orang awam.

Lebih 50 anggota polis mengepung rumah itu serta memindahkan penduduk berhampiran bagi memastikan keselamatan orang ramai.

Pemangku Ketua Polis Wilayah 2, Leftenan Jeneral Yingyos Thepchamnong kemudian mengarahkan Sunthorn dipecat daripada pasukan polis. 

Sunthorn kini ditahan di Balai Polis Bang Lamung dan akan menghadapi pertuduhan mengikut undang-undang. – AGENSI