57 hari keliling AS guna papan luncur

papan luncur pecah rekod

Caruso menamatkan perjalanan sejauh 5,000 kilometer dalam tempoh 57 hari, 6 jam dan 56 minit. – Guinness World Records

BANDAR RAYA NEW YORK – Seorang lelaki di New York menempa nama dalam Guinness World Records selepas mengembara ke seluruh Amerika Syarikat (AS) menggunakan papan luncur, lapor agensi berita United Press International kelmarin. 

Chad Caruso berjaya memecahkan rekod itu selepas melakukan perjalanan sejauh 5,088.74 kilometer dalam tempoh 57 hari, 6 jam dan 56 minit. 

Dia memulakan perjalanannya di Pantai Venice, California dan berakhir di Pantai Virginia, tenggara negeri Virginia dengan hanya berbekalkan beg galas kecil dan sepasang pakaian. 

Pencapaian itu sekali gus menjadikan Caruso sebagai lelaki terpantas mengelilingi AS menggunakan papan luncur. 

“Beratus-ratus orang bersorak ketika saya hampir tiba di garisan penamat di Pantai Virginia. 

“Saya juga diiringi polis dan disokong oleh pemain papan luncur tempatan. Saya sangat terharu,” kata Caruso kepada Guinness World Records. – AGENSI