Ulang alik kolej jaga ibu sakit

lead 8

Muhammad Firdaus (kiri) kini menjadi ketua keluarga dengan menjaga ibu dan dua adiknya selepas kematian bapa di Kampung Seberang Pantai Johor, Alor Setar.

PETALING JAYA – Nasib empat beranak ibarat sudah jatuh ditimpa tangga apabila bukan sahaja terpaksa bergelut dengan hidup selepas kematian tonggak keluarga, malah kerugian selepas rumah di Kampung Seberang Pantai Johor, Alor Setar, Kedah dilanda banjir.

Bukan itu sahaja, Muhammad Firdaus Azemi, 18, kini terpaksa menggalas tugas sebagai ketua keluarga selepas bapanya, Azemi Ismail, 65, meninggal dunia akibat komplikasi kencing manis dan pendarahan dalam perut pada 2020.

Kata Muhammad Firdaus, dia turut menjaga ibu, Mastura Yusof, 49, yang menghidap pe­nyakit darah tinggi dan kencing manis sejak 2021 di samping memastikan keperluan dua adiknya berusia lapan dan 17 tahun disediakan.

“Ibu perlu rawatan termasuk disuntik insulin setiap hari. Jadi saya perlu berulang alik dari Kolej Komuniti di Jitra, Kedah setiap hari bagi memastikan adik dan ibu mendapat penjagaan yang diperlukan.

“Kalau saya tinggal di asrama, tiada siapa yang jaga dan hantar ibu ke klinik serta adik-adik ke sekolah,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurut Muhammad Firdaus, selain mendapat upah bekerja di premis mencuci kenderaan, dia menerima pencen Pertubuhan Keselamatan Sosial arwah bapanya selain bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM500 sebulan.

Tambahnya, keadaan bertambah rumit apabila rumah mereka terjejas akibat banjir besar baru-baru ini sehingga banyak barang penting milik keluarganya rosak dan tidak boleh digunakan
lagi.

“Mesin basuh dan barangan elektrik semuanya rosak kecuali peti ais yang sempat diselamatkan. Rumah kami tidak pernah banjir tetapi banjir kali ini kena pula,” katanya sedih.

Ujar Muhammad Firdaus, mereka sekeluarga terpaksa bergerak ke pusat pemindahan sementara sebelum kembali semula ke rumah selepas banjir surut.

“Walaupun begitu, saya tidak menganggap ia sebagai beban kerana menjadi rutin harian saya yang perlu dilakukan demi keluarga,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu keluarga Muhammad Firdaus boleh menghubunginya di talian 017-532 6074 atau me­nyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional remaja itu di nombor 0210941100065572.