Imran Yassin Md Yusof
KUALA LUMPUR, 10 Dis (Iteenews) — MIDF Research mengunjurkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar Malaysia berkembang kepada 4.6 peratus pada tahun depan berbanding 5.0 peratus pada 2024, didorong oleh perbelanjaan domestik yang meningkat.
Ketua Penyelidikan MIDF Research Imran Yassin Md Yusof berkata 2025 dijangka menjadi tahun pemulihan yang stabil dan lebih kukuh untuk Malaysia, dengan peluang pertumbuhan baharu dari aspek domestik dan global.
“Penggunaan domestik akan terus menjadi pemacu utama pertumbuhan Malaysia pada 2025. Pasaran pekerjaan menunjukkan trend positif, dengan peningkatan peluang pekerjaan, kenaikan gaji dan sektor pelancongan yang berkembang menyokong perbelanjaan pengguna yang tinggi.
“Faktor ini, dengan inisiatif kerajaan seperti kenaikan gaji untuk penjawat awam dan program bantuan tunai yang akan memberikan asas kukuh untuk pengembangan ekonomi,” katanya pada tinjauan pasaran MIDF Research hari ini.
Dalam pembentangan bertajuk ‘Market Outlook 2025: Could Be a Turbulent Ride’, Imran berkata selain permintaan domestik, MIDF Research mengunjurkan pertumbuhan perdagangan luaran yang berterusan tetapi kekal berhati-hati terhadap peraturan perdagangan yang lebih ketat yang mungkin dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS).
Beliau berkata dengan ketidakpastian dan ketidaktentuan yang dijangka berterusan pada 2025 berikutan sensitiviti pelabur terhadap data ekonomi AS yang meningkat, dasar baharu AS mengenai perdagangan, tarif dan cukai serta risiko daripada konflik geopolitik, MIDF Research percaya 2025 akan menjadi tahun yang mencabar untuk ekonomi dan pasaran.
Sementara itu, dari segi dasar monetari, Imran berkata MIDF Research menjangka Kadar Dasar Semalaman (OPR) Malaysia kekal pada 3.00 peratus pada 2025, yang akan terus menawarkan persekitaran yang menyokong dan akomodatif kepada aktiviti ekonomi.
Beliau berkata dengan Rizab Persekutuan (Fed) AS dijangka menghentikan kitaran pengetatannya, MIDF Research optimis mengenai potensi pengukuhan ringgit pada 2025.
Imran berkata pada 2025, ringgit dijangka mencatatkan purata pada 4.23 berbanding dolar AS, lebih kukuh daripada anggaran purata RM4.56 tahun ini, disokong oleh pertumbuhan berterusan dalam permintaan domestik dan perdagangan luar yang pulih.