Ratusan kaki pancing serbu Tumpat selepas banjir

WhatsApp Image 2024 12 09 at 16.03.34

Kaki pancing yang terjejas banjir melepaskan tekanan mereka apabila turun memancing di Sungai Pengkalan Nangka, Tumpat hari ini. FOTO KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN

TUMPAT – Sungai Pengkalan Nangka di sini menjadi tumpuan ramai apabila ratusan pemancing datang untuk memancing ikan patin dan pelbagai spesies ikan air tawar lain selepas fasa banjir gelombang pertama.

Seorang pemancing, Zulkifli Muhammad, 34 berkata, suasana yang boleh diibaratkan seperti pesta memancang itu dapat dirasai setiap tahun terutamanya pada waktu pagi dan petang apabila hampir ribuan orang memenuhi tebing sungai berkenaan.

“Bagi saya, suasana ini lebih kepada terapi untuk ketenangan diri selepas berdepan saat sukar akibat banjir yang melanda. Memancing boleh melepaskan tekanan selepas melihat kemusnahan akibat bencana banjir,”katanya ketika ditemui di tebing Sungai Pengkalan Nangka, di sini hari ini.

Sementara itu, Ridzuan Fauzi, 19, yang berasal dari Palekbang, di sini memberitahu, ramai kaki pancing mengambil peluang untuk memancing di Sungai Pengkalan Nangka di sini selepas banjir hampir setiap tahun.

“Selalunya selepas banjir gelombang pertama, arus air di kunci air di sini akan mengalir deras dan terdapat banyak ikan. Saya berjaya tangkap 13 ekor ikan lampam dan patin semalam,” ujarnya. – https://amiminerals.org/