JOHOR BAHRU – Keseronokan empat remaja menjala ikan di loji air berhampiran Yoyo Rakit, Jalan Utama, Felda Cahaya Baru, Masai di sini bertukar tragedi apabila salah seorang mereka ditemui mati lemas.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Ramli A Hamid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.17 petang tadi.
Menurutnya, seramai 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Apabila Pasukan Keluar Operasi (PKO) tiba di lokasi kejadian, pihak kami mendapat maklumat mangsa dikenali Mohamad Saril Masrabi berusia 14 tahun terjatuh ke dalam loji ketika menjala ikan di pintu air bersama rakan-rakannya.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) segera dilancarkan menggunakan peralatan seperti grappling iron dan tali sepanjang 50 kaki,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ramli berkata, mangsa berjaya ditemui pada pukul 5.25 petang, kira-kira 10 kaki dari lokasi tempatnya terjatuh.
Ujarnya, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,”katanya.-https://amiminerals.org/.