Ingatkan nak nyanyi, rupanya minta hutang

geli hutang

Tangkap layar menunjukkan seorang wanita meminta salah seorang pelanggan untuk melangsaikan hutang. – TikTok

JAKARTA – Perbuatan seorang wanita yang meminta penghutang untuk melangsaikan hutang dengan menggunakan mikrofon di sebuah kafe di Indonesia mengundang perhatian orang ramai, lapor portal berita Viva.co semalam. 

Kejadian berlaku di Kota Cilegon dalam wilayah Banten. 

Rakaman dimuat naik di platform TikTok memaparkan seorang wanita tampil ke hadapan sebelum diberikan mikrofon olah pengacara majlis. 

Orang ramai mula bertepuk tangan kerana menganggap wanita itu akan menyanyikan sebuah lagu. 

Dia bagaimanapun membuat pengumuman khas kepada salah seorang pelanggan yang berhutang sebanyak 400 juta rupiah (RM111,597).

“Ini adalah persembahan untuk orang yang duduk di meja itu, tolong langsaikan hutang 400 juta rupiah. Kamu tidak tahu malu? Gaya seperti orang elit tetapi sebenarnya liat?” kata wanita itu. 

Rakaman itu mencatatkan lebih 2.8 juta tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi netizen. 

“Kalau saya, saya memang malu sekiranya ditegur seperti itu,” komen seorang netizen. 

“Kalau hutang sebanyak itu, saya pun sanggup!” komen netizen lain. – AGENSI