Aaron-Wooi Yik tak rela tersingkir awal lagi

Aaron Chia

AARON (kanan) dan Wooi Yik akan membuka kempen Jelajah Dunia Akhir 2024 yang berlangsung di Hangzhou esok.

PENAMPILAN kelima pada Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir (WTF) yang akan berlangsung di Hangzhou, China bermula esok menjadi misi penting buat beregu lelaki No. 1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Sepanjang beraksi pada kejohanan penutup kalendar itu, mereka tidak pernah melangkah ke pusingan kalah mati apabila terpaksa pulang awal selepas kerap tersingkir di peringkat kumpulan.

Bagi kempen 2024, Aaron berharap dia dan Wooi Yik dapat melepasi peringkat kumpulan terlebih dahulu sebelum meletakkan sasaran lebih tinggi pada kejohanan yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan bernilai AS$2.5 juta (RM11.17 juta) itu.

Aaron berkata, laluan untuk melangkah ke pusingan kalah mati bukan sesuatu yang mudah kerana diundi dalam Kumpulan B bersama pilihan kedua dari China, He Ji Ting-Ren Xiang Yu serta dua wakil Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto dan Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani.

“Kali ini memang sasaran untuk melepasi peringkat kumpulan dahulu. Kita sudah layak lima kali ke Jelajah Dunia Akhir tetapi sering kalah di peringkat kumpulan.

“Jika melihat kepada undian peringkat kumpulan, tidak ada banyak kelebihan kerana turut dibarisi beregu China dan dua wakil Indonesia. Ini adalah kejohanan terakhir 2024, jadi nikmati sahaja,”katanya.

Dalam pada itu, Aaron sedia berbincang dengan barisan kejurulatihan bagi membuat percaturan untuk meloloskan diri ke pusingan kalah mati memandangkan setiap beregu memiliki kemampuan hampir sama.

Tambahnya, jika berjaya ke separuh akhir, barulah mereka akan mula meletakkan sasaran baharu, sama seperti dilakukan ketika menjadi juara dunia di Tokyo, Jepun dua tahun lalu.

Sebagai rekod, hanya dua beregu yang berada dalam kelompok dua teratas akan melayakkan diri ke separuh akhir dan bakal membuat perhitungan dengan dua beregu terbaik Kumpulan A.

“Memang ada berbincang dengan jurulatih tetapi kami harap boleh lepas (peringkat kumpulan). Sekiranya berpeluang melepasi saingan kumpulan, mungkin akan jadi seperti Kejohanan Dunia sebelum ini tetapi kami fokus satu demi satu,”ujarnya.