INISIATIF EMPAT HARI MIDA, CHERY HUBUNGKAN VENDOR AUTOMOTIF

ecd690a4fa254ab8277e039cc10a6a9e6756eb1c9e817 Kredit/Credit : FB Chery Malaysia 6161bd3c9c74f6505aaecf5aed64be226756eb1d69ce1 Kredit/Credit : FB Chery Malaysia

KUALA LUMPUR, 9 Dis (Iteenews) — Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Chery Corporate Malaysia Sdn Bhd mengajurkan program rantaian bekalan utama di Wuhu, China, yang menghubungkan vendor automotif Malaysia secara langsung dengan hab teknologi global chery.

Inisiatif selama empat hari pada 2-5 Disember lepas, disokong oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Institut Robotik dan IoT Automotif Malaysia (MARii).

Lebih 100 pemimpin industri, termasuk 40 vendor Malaysia serta wakil MITI dan MARii menghadiri acara berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata industri automotif Malaysia kini dalam tempoh transformatif dan program itu membolehkan vendor Malaysia mendapat akses terhadap kemajuan teknologi dan pasaran global, terutama aspek penting kenderaan generasi akan datang serta pembuatan mampan.

\”Ini peluang transformatif bagi ekosistem automotif Malaysia. Kerjasama ini jelas memaparkan komitmen MIDA untuk memupuk kerjasama bernilai tinggi yang dapat melonjakkan lagi agenda ekonomi nasional. 

\”Kita juga fokus dalam menjadikan Malaysia sebagai hab utama rantaian bekalan automotif global dan kerjasama dengan Chery membuktikan aspek hubungan pelaburan yang kita mahu kembangkan,\” katanya dalam satu kenyataan.

Berkongsi pandangan sama, Naib Presiden Eksekutif Chery Corporate Malaysia Leo Chen berkata kerjasama dengan MIDA turut memaparkan dedikasi Chery bagi membangunkan rantaian bekalan yang kukuh dan inklusif.

\”Chery teruja untuk bekerjasama dengan vendor Malaysia bagi memacu inovasi dan kemampanan dalam industri automotif sambil menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia. 

\”Usaha mempelawa vendor Malaysia ke Wuhu itu bagi membolehkan mereka memahami dan menerimaguna tahap piawaian global Chery dan menjadi penyumbang utama kepada kejayaan kita di peringkat antarabangsa,\” katanya.