. From: Zarul Effendi Razali
KUALA LUMPUR, 9 Dis (Iteenews) — Bank Negara Malaysia (BNM) sedang mengkaji potensi mata wang digital bank pusat (CBDC) borong domestik melalui pembuktian konsep (POC) bersama dengan institusi-institusi kewangan domestik terpilih bagi menambah baik serta mengukuhkan sistem pembayaran borong Malaysia, RENTAS.
Dalam Jawapan Lisan Persidangan Dewan Negara hari ini, Kementerian Kewangan (MoF) berkata BNM juga aktif dalam beberapa projek inovasi dan CBDC borong rentas sempadan kendalian Bank for International Settlements Innovation Hub (BIS Innovation Hub) dengan bank-bank pusat lain seperti Projek Dunbar, Projek Mandala, Projek Rialto dan Projek mBridge, sebagai pemerhati.
Projek-projek itu bertujuan mengkaji bagaimana teknologi terkini seperti teknologi lejar teragih (DLT) dan CBDC boleh menambah baik pembayaran rentas sempadan.
\”Kajian dan penglibatan BNM dalam projek-projek CBDC ini bagi meningkatkan pemahaman dan keupayaan BNM serta industri kewangan terhadap CBDC, terutama bersiap sedia jika wujud keperluan bagi pengeluaran CBDC di masa akan datang,\” katanya.
Kenyataan itu sebagai menjawab pertanyaan Senator Prof Tan Sri Mohamed Haniffa Abdullah mengenai kedudukan terkini negara di peringkat antarabangsa dalam pembangunan CBDC Ringgit Malaysia Digital dan usaha dilaksanakan BNM bagi mempercepatkan peluncuran usaha itu.
Kementerian itu berkata sebarang keputusan dasar utama mengenai CBDC akan dibuat oleh BNM berdasarkan penilaian wujud manfaat jelas untuk Malaysia secara menyeluruh, di samping memastikan risiko daripada pengeluaran CBDC itu dapat diuruskan secara berkesan.
CBDC terbahagi kepada dua kategori iaitu CBDC runcit yang digunakan untuk orang awam, termasuk peniaga-peniaga bagi transaksi harian manakala CBDC borong disasarkan untuk penyelesaian transaksi kewangan antara institusi kewangan peserta.
Pada masa ini, BNM menumpukan sistem pembayaran domestik sedia ada di Malaysia untuk terus beroperasi dengan selamat dan cekap dengan keupayaan mencukupi untuk menyokong keperluan ekonomi serta membolehkan pembayaran digital masa nyata.
Selain itu, MoF berkata instrumen dasar monetari dan kewangan sedia ada juga terus berkesan bagi melindungi kestabilan monetari dan kewangan.