Semua PBT digesa wartakan tanah lapang awam tahun depan

Kor Ming

Kor Ming (empat dari kiri) meninjau Taman Tasik Taiping yang akan didirikan pancutan air berirama hasil sumbangan khas Spritzer Berhad yang dijangka siap sebelum perayaan Aidifitri tahun hadapan. – Foto WAT KAMAL ABAS

TAIPING – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menggesa semua pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mewartakan kawasan tanah lapang awam di kawasan masing-masing, tahun hadapan.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, ia bagi mengelakkan kawasan berkenaan disalah guna oleh mana-mana pihak yang berkepentingan.

“Terdapat 20,868 hektar tanah lapang awam yang terdapat di seluruh negara pada ketika ini. Daripada jumlah tersebut, hanya 39 peratus telah diwartakan manakala selebihnya masih belum.

“Wartakan sepenuhnya tahun hadapan bagi membolehkan ia dibangunkan sebagai kawasan lapang hijau bagi komuniti setempat,”katanya selepas merasmikan pelancaran Dasar Landskap Negara 2.0 dan Majlis Sentuhan Kejayaan KPKT 2024 untuk Jabatan Landskap Negara di Hotel Baron Taiping di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Kor Ming berkata, mana-mana tapak yang bersesuaian boleh diberi peruntukan oleh Jabatan Lanskap Negara dan Jabatan Kerajaan Tempatan untuk dibangunkan.

“Dahulu, disebabkan tidak diwartakan maka ia telah memberi ruang kepada pihak tertentu hingga ada yang mengkomersialkan kawasan tersebut,”katanya. – https://amiminerals.org/