Luahan Pembaca: Peranan besar media banteras rasuah

KOS VIVY42651 scaled

Wartawan perlu membuat laporan seimbang dan berlandaskan fakta supaya berita lebih adil, serta tidak menjatuhkan hukuman ke atas individu yang belum disabitkan bersalah. – GAMBAR HIASAN

SAUDARA PENGARANG,

PERANAN media tradisional membantu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diakui dapat membanteras sebahagian kes rasuah terutama daripada segi laporan yang sahih dan tidak sensasi untuk menarik perhatian.

Seperti yang kita tahu, rasuah merosakkan integriti dalam sektor awam dan swasta kerana ia menjadi jalan pintas untuk memperoleh projek atau peluang, walaupun bertentangan dengan undang-undang dan etika.

Dalam keghairahan mencari berita, media juga mempunyai tanggungjawab supaya tidak menghasilkan berita spekulasi salah, salah faham dan menjejaskan reputasi pihak tertentu.

Pengamal media perlu peka terhadap pelbagai agenda terselindung yang dimainkan oleh pihak tertentu untuk meraih simpati atau menyerang kredibiliti kerajaan, di mana agensi penguat kuasa seperti SPRM kerap dijadikan kambing hitam demi memenuhi kepentingan mereka.

Wartawan perlu membuat laporan seimbang dan berlandaskan fakta supaya berita lebih adil, serta tidak menjatuhkan hukuman ke atas individu yang belum disabitkan bersalah.

Sehubungan itu, media tradisional berperanan besar dalam menyebarkan maklumat dan membentuk persepsi masyarakat tentang rasuah.

Bagi sesetengah golongan, khususnya warga emas, media cetak dianggap lebih boleh dipercayai berbanding sumber digital.

Liputan meluas media memberikan tekanan kepada pihak berkuasa untuk bertindak tegas untuk memastikan individu terlibat diheret ke muka pengadilan.

Media adalah sekutu penting dalam perjuangan menentang rasuah. Dengan liputan yang luas dan keupayaan mempengaruhi persepsi masyarakat, media membantu meningkatkan kesedaran tentang bahaya rasuah dan kepentingan integriti.

Gabungan antara media cetak, elektronik, dan sosial memberikan impak maksimum dalam usaha membanteras rasuah.

SPRM mengiktiraf peranan penting media dalam menyebarkan maklumat tentang kes rasuah, salah guna kuasa, dan penyelewengan.

Dengan sokongan media, usaha SPRM untuk membanteras rasuah mendapat perhatian masyarakat dan meningkatkan kesedaran orang ramai tentang bahaya rasuah.

Hisyam Mohd. Yusoff
Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik SPRM