Man. City boleh lupakan pertahan EPL

Man City Rico Lewis

LEWIS (tengah) dilayangkan kad merah ketika City sekadar seri 2-2 dengan Palace pada aksi EPL kelmarin. – AFP

LONDON – Manchester City mula memberi bayangan untuk melupakan misi mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila seri 2-2 dengan Crystal Palace di Selhurst Park kelmarin.

Pengurusnya, Pep Guardiola sendiri menjelaskan anak-anak buahnya tidak lagi boleh memikirkan kejuaraan kelima berturut-turut ketika The Citizens kini terperangkap dalam prestasi buruk.

“Kami hanya memperoleh satu mata di mana kami berjaya pamer kebangkitan. Ia adalah musim yang sukar dan kita boleh lihat apa yang berlaku dalam tempoh beberapa bulan ini.

“Kami tidak boleh lagi bercakap tentang kejuaraan apabila kami kalah empat perlawanan berturut-turut dan catat satu keputusan seri. Kami akan cuba pulihkan pemain dan akan lihat apa berlaku bulan depan,”katanya.

Pada perlawanan kelmarin, Palace dua kali berada di depan menerusi jaringan Daniel Munoz dan Maxence Lacroix, namun City berjaya mempamer kebangkitan untuk memperoleh dua gol daripada Erling Haaland serta Rico Lewis.

Lebih malang, Lewis turut diarahkan keluar padang selepas dilayangkan kad merah kerana mengutip kad kuning kedua pada minit ke-84.

Ketika ini, Guardiola menjelaskan, beliau kehilangan beberapa pemain utama, namun pasukan kekal mencuba sehabis baik bagi mendapatkan keputusan positif.

“Beberapa pemain penting kami masih cedera. Itu yang kami hadapi dan kami bangga kerana pemain sudah mencuba untuk memenangi perlawanan,” jelasnya. – AGENSI