DAMSYIK – Presiden Bashar al-Assad dilaporkan menaiki sebuah pesawat sebelum kumpulan pemberontak tiba di ibu negara Syria dan melarikan diri ke lokasi yang tidak diketahui, lapor portal berita Middle East Eye hari ini.
Setakat ini, destinasi yang dituju pesawat itu masih tidak diketahui.
Kumpulan pemberontak juga membebaskan beribu-ribu tahanan politik dari penjara Sednaya yang terkenal dan beberapa penjara keselamatan lain.
Perdana Menteri Syria, Mohammad Ghazi al-Jalali berkata dalam satu siaran video bahawa beliau kekal berada di rumahnya dan bersedia untuk menyokong kesinambungan tadbir urus Syria.
Pemimpin pemberontak, Ahmed al-Sharaa yang lebih dikenali sebagai Abu Mohammad al-Julani mengarahkan pejuang pemberontak untuk berkumpul berhampiran institusi-institusi awam sehingga ia diserahkan secara rasmi.
Sementara itu, bakal Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata bahawa Bashar meninggalkan negaranya selepas hilang sokongan daripada Russia.
“Bashar telah pergi. Russia yang diketuai oleh (Presiden) Vladimir Putin tidak berminat untuk melindunginya,” kata Trump di platform Truth Social miliknya.
Sejak beberapa hari lalu, kumpulan pemberontak berjaya menawan beberapa buah bandar utama selepas perang saudara di negara itu tercetus pada tahun 2011, – AFP/AGENSI