— BERNAMA
KUALA LUMPUR, 8 Dis (Iteenews) — Peralihan kepada amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam kalangan syarikat di Malaysia bukan sahaja didorong oleh peraturan tetapi juga kerana mereka tidak mahu kehilangan pembeli, pasaran eksport dan memenuhi keperluan bank untuk memberikan pinjaman kepada syarikat yang mematuhi ESG.
Desakan di peringkat global untuk industri dan syarikat menerima pakai ESG dalam operasi mereka, telah memberi impak kepada syarikat-syarikat besar secara berperingkat termasuk entiti yang tersenarai di Papan Utama dan meluas kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Tahun ini, PKS dan banyak syarikat besar telah mengambil langkah untuk memastikan operasi kitaran perniagaan mereka menggabungkan rangka kerja ESG, yang akan meningkatkan profil Malaysia dalam memenuhi komitmen alam sekitarnya.
Kerajaan dan badan kawal selia turut proaktif dalam membantu memudah cara peralihan syarikat untuk menerima pakai standard dan amalan ESG.
Usaha ini sejajar dengan aspirasi Malaysia di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara untuk menjadi peneraju serantau dalam kemampanan selain memastikan daya tahan ekonomi dalam jangka panjang dan memulihara alam sekitar.
Usaha dalam menggalakkan menerima pakai ESG