MELAKA – Wanita berketurunan Kemboja, Mariyah Yaakob, 48, didenda sebanyak RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah menghina kaum Melayu tahun lalu.
Hukuman diputuskan selepas tertuduh yang juga pemilik syarikat jahitan pukal, Mariyah Holdings Sdn. Bhd. membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Azaraorni Abd. Rahman.
Anak Mariyah, Ezuan Hafsham Mohd. Hisyam, 23, dikenakan bon berkelakuan baik sebanyak RM10,000 tanpa cagaran dengan penjamin warga Malaysia selepas mahkamah mempertimbangkan tertuduh masih menuntut di sebuah universiti di United Kingdom.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan TikTok dan membuat suatu penyataan dengan niat yang mungkin mengapikan kaum Melayu pada 16 November 2023 kira-kira pukul 6 petang.
Ezuan yang juga Pengarah syarikat Mariyah Holding pula didakwa secara sedar menggunakan TikTok untuk membuat dan memulakan penghantaran komunikasi video yang memaparkan ibunya mengatakan kenyataan jelik itu pada 14 hingga 16 November lalu.
Tertuduh juga boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Pengarah pendakwaan negeri, Ahmad Sazali Omar memohon hukuman setimpal dikenakan ke atas dua beranak itu memandangkan kesalahan yang dilakukan mereka adalah serius kerana menyentuh isu ‘3R’ (kaum, agama, raja).
Peguam Kamal Hisham Jaafar yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu hukuman ringan kerana pengakuan yang dibuat anak guamnya telah menjimatkan masa mahkamah, selain mereka juga telah insaf.
Selepas mendengar hujah kedua-dua belah pihak, Azaraorni memerintahkan Mariyah membayar denda RM40,000 atau penjara enam bulan. Mariyah membayar denda yang ditetapkan. – https://amiminerals.org/