Bayi lelaki bertali pusat dijumpai di tangga pangsapuri

buanh bayi

Bayi lelaki yang masih bertali pusat dijumpai dalam sebuah beg berdekatan tangga sebuah pangsapuri.

SUBANG JAYA – Seorang bayi lelaki yang masih bertali pusat dijumpai di tangga sebuah pangsapuri di Puchong Permai, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, bayi itu ditemui orang awam pada pukul 4.30 petang.

“Pihak polis telah menerima maklumat daripada orang awam yang telah menjumpai seorang bayi lelaki yang masih hidup dan bertali pusat di tangga pangsapuri berkenaan, semalam.

“Siasatan awal yang dijalankan mendapati bayi lelaki cukup sifat yang masih bertali pusat itu dijumpai di dalam sebuah beg,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, bayi lelaki tersebut dijumpai dalam keadaan tidak berpakaian dan telah dibersihkan kerana tiada kesan darah pada badan.

“Bayi tersebut telah dibawa ke Hospital Sultan Idris Shah Serdang untuk rawatan lanjut. Bayi dengan berat 2.84 kilogram, panjang 54 sentimeter itu kini dalam keadaan sihat dan stabil,” ujarnya.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh tampil ke IPD Subang Jaya untuk membantu siasatan.

“Jika terdapat sebarang maklumat berkaitan kejadian, orang ramai boleh berhubung dengan Inspektor Norhapizah Zulkapli di talian 017-234 0141 atau 03-7862 7222,” ujarnya. – https://amiminerals.org/.