Bitcoin lepasi nilai RM442,000 buat kali pertama

COIN scaled

ILUSTRASI pada 22 November lalu menunjukkan mata wang bitcoin dalam bentuk fizikal. – AFP

HONG KONG – Bitcoin melepasi nilai AS$100,000 (RM442,000) buat  kali pertama hari ini ketika pedagang-pedagang menyambut baik keputusan Donald Trump memilih peminat mata wang kripto sebagai ketua pihak berkuasa sekuriti Amerika Syarikat (AS).

Mata wang kripto itu melonjak melepasi angka tersebut selepas menikmati sokongan pedagang-pedagang sejak Trump memenangi Pilihan Raya Presiden AS, 5 November lalu. 

Beliau sebelum ini berjanji akan menjadikan Amerika sebagai ‘ibu kota mata wang kripto dan bitcoin dunia’.  

Nilai mata wang digital itu melonjak lebih 50 peratus sejak kemenangan Trump dan sekitar 140 peratus sejak awal tahun ini.

Bagaimanapun, kemaraan bitcoin yang mencatat paras AS4103,800 (RM459,336) iaitu  rekod baharu sebelum turun ke sekitar AS$103,000 (RM455,796) semasa dagangan tengah hari ini, telah terhenti sejak beberapa minggu lalu.

Ia berada di bawah angka AS$100,000 ketika pedagang-pedagang menunggu galakan baharu untuk membuat pembelian.

Galakan itu datang dalam bentuk berita bahawa Trump memilih penyokong utama mata wang kripto, Pau Atkins untuk mengambil-alih sebagai pengerusi Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa. – AFP