BANGKOK – Satu rakaman video menunjukkan seorang anggota polis trafik mengarahkan pemandu sebuah kereta BMW membayar denda kesalahan jalan raya dengan menggunakan akaun bank milik lelaki yang memandu tuk-tuk di Bangkok, Thailand, lapor portal berita Thaiger semalam.
Perbuatan salah laku itu didedahkan menerusi satu akaun platform itu yang memuat naik satu rakaman kejadian tersebut selepas ia berlaku pada hujung bulan lalu.
Menurut keterangan gambar di platform itu: “Sistem baharu. Imbas untuk bayar (denda) melalui pemandu tuk-tuk. Adakah ini sah? Ini berlaku di persimpangan Pratunam. Jangan fikir tiada siapa yang perasan tindakan anda.”
Dalam rakaman itu, anggota polis tersebut dilihat memberhentikan sebuah kereta BMW berwarna putih dan berbual ringkas dengan pemandunya.
Tidak lama kemudian, pemandu tuk-tuk itu menghampiri kenderaan tersebut dengan telefon bimbitnya dan menyerahkannya kepada pemandu BMW itu sebelum dia dibenarkan meneruskan perjalanannya.
Sebenarnya, pembayaran melalui pihak ketiga seperti pemandu tuk-tuk bukan sebahagian daripada proses yang diluluskan pihak polis.
Namun, seorang pegawai polis, Superintendent Watcharawee Thammasaema memaklumkan kepada media bahawa siasatan sedang dijalankan berhubung kejadian itu. – AGENSI