Helena jantung berlubang perlukan RM65,000

Helena bayi jantung perlukan RM65000

Nur SYAMIMI (dua dari kiri) mendukung Helena yang menghidap jantung berlubang ketika mengunjungi One Hope Charity & Welfare baru-baru ini.

GEORGE TOWN – Pasangan suami isteri merayu bantuan orang ramai bagi menampung kos pembedahan anak kecil mereka berusia 14 bulan yang menghidap jantung berlubang.

Muhammad Hazzim Mu’az Md. Radazi, 24, dan isteri, Nur Syamimi Azizan, 24, memaklumkan, anak bongsu daripada dua beradik, Helena Mikayla Muhammad Hazzim Muaz memerlukan dana sebanyak RM65,000 bagi menjalani pembedahan.

Kata mereka, pembedahan itu dijadualkan pada 10 Disember ini.

Sementara itu, Pengerusi badan amal, One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, bayi yang berasal dari Padang Serai, Kedah itu disahkan menghidap penyakit tersebut selepas empat hari dia dilahirkan.

Menurutnya, Helena pada awalnya dibenarkan pulang ke rumah dan tidak perlu mengambil ubat walaupun terdapat lubang sebesar 2.7 milimeter (mm) pada jantungnya.

“Namun, keadaannya kini semakin teruk. Semasa pemeriksaan susulan pada Oktober lepas, doktor memaklumkan lubang itu telah membesar kepada 7.3 mm.

“Bagi mengelakkan ‘aortic regurgitation’ menjadi lebih teruk, doktor mengesyorkan dia menjalani pembedahan membaiki lubang secepat mungkin,” kata­nya.

Beliau memberitahu, bayi tersebut akan dimasukkan ke wad sebuah hospital swasta di Pulau Pinang pada 9 Disember ini iaitu sehari sebelum dia menjalani pembedahan.

Ujar Sui Hau, ibu bapa Helena hanya mampu menampung kos sebanyak RM3,000, maka pasa­ngan itu tampil memohon bantuan dana daripada badan amal itu, baru-baru ini.

Kata beliau, bapa bayi tersebut bekerja sebagai penghantar barang dengan pendapatan tidak menentu, manakala ibunya ha­nya suri rumah.

Orang ramai yang mahu membantu boleh berbuat demikian menerusi akaun Public Bank Berhad One Hope Charity & Welfare (nombor akaun 3193433435)
atau layari www.onehopecharity.org.

Sebarang pertanyaan sila hubungi talian hotline 04-539 9212, 016-4192 192, 019-2322 192, 018-911 4192.