PUTRAJAYA – Malaysia dilihat sebagai antara negara di rantau ASEAN yang paling aman di dunia serta pantas dalam pertumbuhan ekonomi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dimaklum beberapa pemimpin ketika lawatan singkat beliau ke Mesir, Arab Saudi, Peru, Brazil, Korea termasuk China.
Katanya, Malaysia merupakan negara contoh yang paling rumit dijaga kerana mempunyai pelbagai kaum dan agama serta warna kulit, namun mempunyai semangat kesatuan.
“Orang luar meneropong (Malaysia), dia cakap ini antara negara paling rumit dijaga, banyak ‘peelnya’ pelbagai warna kulit, tapi ada semangat kesatuan dan aman.
“Dan ini juga rantau Malaysia dan ASEAN yang dianggap paling pantas kelajuan dan pertumbuhan ekonomi,” katanya ketika berucap pada Putrajaya FOI, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Anwar menempelak segelintir pihak yang dangkal dan bangkrap dari segi idea dengan cara mencari isu-isu yang boleh menarik orang melalui hal perkauaman sempit.
Beliau memberi contoh, ada kalangan orang Melayu akan tercabar kerana terdapat satu dua poster dalam Bahasa Cina, manakala kalangan orang Cina pula, dinafikan hak serta tercabar.
“Pergi ke negeri-negeri akan kata hak rakyat Sabah terhakis, ini semua sentimen yang boleh menarik orang tapi tugas anak muda ialah untuk mendapat pencerahan cara kritis, kebenaran tentang kenyataannya, mendengar dari semua pihak dan mencari jalan penyelesaiannya.
“Kalau tidak, seperti kita tahu dia guna sentimen perkauaman yang kononnya kebebasan dan nasionalisme. Dia bukan yakin dengan patriotisme, tetapi guna sentimen untuk membakar semangat membenci orang,” ujarnya. – https://amiminerals.org/.