Bapa buntu cari duit bedah jantung Qaireen RM50,000

LEAD Prihatian

HAFFIEZ (kanan) bersama anak sulungnya yang menderita sakit jantung dan akan menjalani pembedahan kali keempat tidak lama lagi.

BENTONG – Seorang bapa buntu untuk mencari sumber kewangan bagi meneruskan rawatan pembedahan jantung anaknya dengan kos kira-kira RM50,000 yang akan dilakukan dalam masa terdekat.

Haffiez Mansor Taridi, 40, berkata, anak sulungnya, Qaireen Adriana Tihani, 13, yang menderita sakit jantung sejak berusia dua hari perlu menjalani pembedahan keempat dalam masa terdekat membuatkan dia be­kerja keras mencari dana.

Katanya, pada masa ini pendapatannya tidak menentu sekitar RM1,800 sebulan dan terpaksa melakukan pelbagai pekerjaan bagi menampung kos hidup.

Ujarnya, isterinya turut be­kerja sebagai pembantu jualan dua minggu lepas selepas bersalin beberapa bulan lalu bagi menampung perbelanjaan keluarga.

“Saya berhijrah ke bandar bagi mengubah nasib keluarga, namun ia tidak semudah se­perti disangka kerana menempuh pelbagai cabaran sehingga tergolong miskin bandar.

“Saya ke Lembah Klang pada 2021 bagi mengubah nasib keluarga khususnya dalam memastikan rawatan anak yang mende­rita sakit jantung berjalan lancar dengan menjual air dan kuih-muih selain melakukan pelbagai pekerjaan,” katanya yang kini tinggal di Setia Alam, Selangor.

Menurutnya, Qaireen ­Adriana yang disahkan menghidap penyakit jantung ketika berusia dua hari telah menjalani pembedahan pada 2011, 2014 dan 2023 dan menunggu satu lagi pembedahan.

Selain itu, anaknya itu memerlukan susu dan suplemen tertentu melibatkan perbelanjaan RM700 sebulan, tidak termasuk kos rawatan berkala.

Katanya, pada masa ini anaknya itu mendapat bantuan sebanyak RM500 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang digunakan untuk pembiayaan rawatannya.

Sesiapa yang ingin membantu boleh menghubungi Mohamed Haffiez di talian 019-606 0169.

Mereka juga boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank CIMB di nombor 7607551097 atau Bank Simpanan Nasional (BSN), 1111529000020021.