627,491 pengguna culas bayar bil elektrik

Gambar hiasan 1 2

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sebanyak 627,491 akaun pengguna Tenaga Nasional Berhad (TNB) dipotong melibatkan tunggakan berjumlah RM1,008,771,447.78 setakat September lalu.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, angka itu meningkat dari tahun lalu yang mana sebanyak 464,076 akaun pengguna TNB dipotong melibatkan tunggakan berjumlah RM945,435,794.07.

“Daripada statistik itu, lima negeri merekodkan jumlah akaun dan tunggakan tertinggi pada 2023 iaitu Selangor, Terengganu, Perak, Pahang dan Negeri Sembilan.

“Sehingga September lalu, tunggakan tertinggi dari Selangor, Kuala Lumpur, Perak, Johor dan Terengganu,”katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) berhubung jumlah kes pemotongan bekalan elektrik oleh TNB akibat kegagalan membayar bil elektrik dan jumlah tunggakan mengikut negeri dan kategori pengguna bagi tahun 2023 sehingga September 2024.

Akmal Nasrullah berkata, antara sebab berlakunya kelewatan pembayaran adalah kekangan kewangan, sikap tidak bertanggungjawab dan sambil lewa yang mana kebanyakan nama pengguna berdaftar bukan pemilik serta sikap bayar TNB terakhir (pay TNB last).

Katanya, kementerian melalui TNB mengambil inisiatif menuntut tunggakan daripada pengguna yang dibahagikan kepada dua kategori iaitu domestik (kediaman) dan bukan domestik (komersil, perindustrian, pertanian dan lain-lain).

Secara keseluruhannya, terdapat seramai 10.4 juta pengguna TNB berdaftar melibatkan 8.5 juta pengguna domestik dan 1.9 juta pengguna bukan domestik. – https://amiminerals.org/