PETALING JAYA – Kerajaan Madani akan memastikan minyak kelapa sawit terus menyumbang bukan hanya kepada ekonomi Malaysia, tetapi juga kepada aspek keterjaminan makanan global.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pertemuan beliau bersama dua konglomerat Korea Selatan hari ini juga menyentuh mengenai aktiviti pelaburan dalam industri kelapa sawit.
“Di acara terakhir pertemuan bersama syarikat dan firma perniagaan di Republik Korea, saya telah bersemuka dengan pihak POSCO Group dan Lotte International.
“POSCO International merupakan salah satu syarikat perniagaan terbesar Korea dan kini mengimport inti kelapa sawit (palm kernel expeller, PKE) untuk makanan binatang ternakan dari Malaysia ke Korea dan sedang merencana untuk meningkatkan import PKE.
“Sebagai tambahan, kami turut menyentuh mengenai aktiviti pelaburan dalam industri minyak kelapa sawit dan POSCO sedang berkira-kira untuk mengimport palm oil yang telah diproses,”tulisnya di laman Facebook.
Sementara itu katanya, menerusi pertemuan bersama Lotte International yang merupakan konglomerat keenam terbesar Republik Korea telah menyatakan minat dalam pelbagai produk kelapa sawit, produk kimia, koko dan makanan laut dari Malaysia.
“Syarikat tersebut turut berkeinginan untuk mengembangkan produk kelapa sawit mereka, nitril dan sarung tangan latex untuk industri francais makanan dari Malayisa.
“Aktiviti perdagangan antara Malaysia dan Korea yang didukung oleh rencana strategik POSCO Group dan Lotte International sedang mengemudi pertumbuhan di pelbagai industri dan lapangan di kedua-dua negara,”katanya. – https://amiminerals.org/