Pelajar tahfiz lemas ketika mandi di tali air

Anggota bomba menjalankan operasi mencari mangsa yang lemas di tali air di Kampung Padang Lati Bachok hari ini.

Anggota bomba ketika menjalankan operasi mencari mangsa yang lemas di tali air di Kampung Padang Lati, Bachok hari ini.

BACHOK – Kegembiraan tiga pelajar tahfiz bermandi-manda di tali air berakhir dengan tragedi apabila salah seorang daripada mereka lemas dalam kejadian di Kampung Padang Lati, di sini hari ini.

Mangsa yang berusia 18 tahun ditemukan terdampar oleh anggota bomba pada pukul 3.53 petang.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Lokman Yusoh berkata, mangsa dijumpai selepas 15 minit operasi mencari dan menyelamat dilakukan.

Siasatan awal mendapati pelajar sebuah pusat tahfiz di Kampung Chat bersama dua rakannya pergi ke tali air tersebut untuk mandi.

“Mangsa dipercayai terjun ke dalam tali air, manakala dua rakannya berada tebing sebelum menyedari remaja tersebut tidak timbul. Mangsa yang tidak pandai berenang berjalan sejauh dua kilometer dari sekolahnya untuk mandi di tali air tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini. – https://amiminerals.org/