Pelajar tahfiz lemas di tali air mahu jadi imam

Muhammad Syamil

Muhammad Syamil

KOTA BHARU – Seorang pelajar tahfiz yang ditemukan lemas ketika mandi di tali air bersama dua rakannya di Kampung Padang Lati, Jelawat, Bachok petang tadi bercita-cita mahu menjadi imam.

Ibu saudara mangsa, Sabariah Mat Yusoff, 55, berkata, arwah Muhammad Syamil Saniran, 15, juga pernah memasang niat untuk mengimamkan solat jenazahnya satu hari nanti.

Sabariah berkata, arwah anak saudaranya itu baru dua tahun menuntut di Pondok Munawarah, Kampung Chat, Bekalam di Bachok.

Anggota bomba menjalankan operasi mencari mangsa yang lemas di tali air di Kampung Padang Lati Bachok hari ini.
Anggota bomba melakukan operasi mencari mangsa yang lemas di tali air di Kampung Padang Lati, Bachok hari ini.

“Kali terakhir saya bertemu dengan arwah kira-kira sebulan lalu ketika mangsa pulang bercuti. Arwah bercuti selama seminggu dan dia beria-ria mahu pulang semula ke pondok kerana tidak mahu ketinggalan dalam pelajaran.

“Saya berpesan supaya dia belajar bersungguh-sungguh bagi membolehkan dia mengimamkan solat jenazah saya nanti tetapi dia ‘pergi’ dulu sebelum saya,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) Kubang Kerian di sini sebentar tadi.

Sabariah memberitahu, dia mengetahui kejadian menimpa anak saudaranya itu selepas dihubungi adik lelakinya yang juga imam sebuah masjid di Kampung Padang Lati kira-kira pukul 3.30 petang sebelum pergi ke lokasi dan mendapati mayat Muhammad Syamil sudah dijumpai.

Kosmo! Online hari ini melaporkan kegembiraan tiga pelajar tahfiz bermandi-manda di tali air berakhir dengan tragedi apabila salah seorang daripada mereka lemas dalam kejadian di Kampung Padang Lati hari ini. – https://amiminerals.org/