MUAR – Seorang pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Alauddin Riayat Shah 1, Pagoh di sini dilaporkan hilang selepas tidak pulang ke rumah neneknya selepas tamat waktu persekolahan sejak semalam.
Siti Nurhaliza Mohd Asri, 25, berkata, sepupunya, Muhammad Effzaldanish Mohd Affendi, 14, disedari hilang oleh neneknya, Jaminah Shari, 90.
Menurutnya, pada hari kehilangannya, Muhammad Effzaldanish berjalan ke sekolah yang terletak kira-kira 200 meter dari rumah neneknya.
“Selepas pukul 2 petang, kelibat Muhammad Effzaldanish tidak kelihatan hingga nenek gelisah dan meminta bantuan sepupu yang lain menjejakinya.
“Kali terakhir dia kelihatan berjalan kaki ke sekolah lengkap berpakaian seragam sekolah,”katanya ketika dihubungi di sini.
Siti Nurhaliza berkata, puas mereka mencari termasuk bertanyakan kepada kawan-kawan serta ke asrama sekolah namun mereka memaklumkan anak tunggal itu tidak datang ke sekolah.
Jelasnya, Muhammad Effzaldanish tinggal bersama nenek sejak berusia tiga tahun selepas ibunya meninggal dunia akibat kanser payudara.
“Mereka cuma tinggal berdua kerana bapanya sudah berkahwin lain dan menetap di Tampin, Negeri Sembilan. Kami harap sangat Effzaldanish ditemui segera dalam keadaan selamat,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata pihaknya menerima laporan bapa pelajar terbabit pagi tadi.
Katanya, polis masih menjalankan siasatan dengan merekodkan keterangan bapa mangsa. – Iteenews