PETALING JAYA – Pelakon juga pelawak Zizan Razak sekali lagi membuktikan bahawa kebaikan kecil mampu memberi impak besar apabila kehadirannya di sebuah restoran yang hampir gulung tikar menjadi titik perubahan buat perniagaan tersebut.
Seperti hero penyelamat, pemilik restoran berkenaan mendedahkan jumlah pelanggan meningkat mendadak selepas video Zizan menikmati hidangan di premis perniagaannya tular dalam TikTok.
“Beberapa kali kami hampir buat keputusan untuk tutup kafe ini. Tidak sangka, Zizan Razak adalah artis pertama yang sudi bawa keluarganya datang ke sini.
“Kami rakam video Zizan atas izin beliau dan tak sangka jadi viral di TikTok.
“Selepas itu, berderu pelanggan masuk, kami pun terkejut. Sesak nafas nak tampung pelanggan dengan kapasiti pekerja dan keadaan kedai kami sekarang,” katanya menerusi video dalam TikTok.
Menurut peniaga itu, kehadiran Zizan bukanlah atas undangan untuk promosi atau ulasan makanan, sebaliknya pelakon Abang Long Fadil itu datang sebagai pelanggan biasa yang tertarik dengan restoran tersebut selepas melihatnya dalam TikTok.
“Zizan kata nak cuba sebab nampak dari TikTok, bukan sebab kami jemput untuk buat review.
“Rasa nak menangis bila mengenangkan kebaikan dia yang datang dan bantu tanpa diminta.
“Sepanjang dua tahun buka kafe, kami tak pernah ada pelanggan sebanyak ini. Jualan kami pun sebelum ini amat sikit,” tambahnya dengan nada sebak.
Pemilik restoran itu turut meluahkan kesyukuran dan terharu atas keikhlasan Zizan yang secara tidak langsung membantu memulihkan semula perniagaannya selepas dua tahun bergelut cabaran.
Sikap rendah hati Zizan sekali lagi menjadi bualan netizen yang memuji keprihatinan pelakon itu meskipun kehadirannya hanyalah sebagai pelanggan. – https://amiminerals.org/.