Ribuan penyokong Imran Khan bertempur dengan polis

Pakis mati scaled

POLIS menembak gas pemedih mata dalam satu rusuhan di Islamabad semalam. – AFP

ISLAMABAD – Sekurang-kurangnya seorang anggota polis terbunuh, manakala lebih 50 orang cedera ketika beribu-ribu penunjuk perasaan yang menyokong bekas Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan tiba di Islamabad, lapor Perbadanan Penyiaran British (BBC) semalam.

Seramai 139 penyokong Imran telah ditangkap, manakala bandar ibu negara itu dikenakan perintah berkurung untuk hari kedua.

Imran ditahan selama lebih setahun atas pelbagai pertuduhan tetapi kekal popular walaupun menghadapi masalah undang-undang.

Isterinya, Bushra Bibi, bagaimanapun memberitahu penyokong-penyokong Imran semalam bahawa tunjuk perasaan akan diteruskan sehingga suaminya dibebaskan.

Pertempuran berlaku hari ini antara pasukan keselamatan dan beribu-ribu penyokong bekas Perdana Menteri itu, yang berarak di Islamabad untuk menuntut pembebasannya dari penjara.

Kakitangan agensi berita AFP di tempat kejadian melihat polis dan pasukan separa tentera melepaskan gas pemedih mata terhadap para penunjuk perasaan tersebut.

Sebelum ini, jalan raya menuju ke D Chowk, titik penting di tengah Islamabad berhampiran bangunan kerajaan, Mahkamah Agung dan Parlimen, kekal disekat dengan kontena penghantaran bagi menghalang penunjuk perasaan. 

Jalan-jalan di Islamabad juga dipenuhi dengan bas-bas yang digunakan untuk membawa anggota polis dari seluruh negara ke ibu negara.

Selepas berita tersebar bahawa penyokong-penyokong Imran sedang bergerak, polis menutup lebih banyak jalan dan memindahkan sejumlah anggota mereka di sekitar bandar raya itu.

Beberapa perkhidmatan internet turut disekat, manakala sekolah-sekolah dan kolej ditutup kerana bimbang keganasan akan berlaku. – AFP/AGENSI