Waris serang pengadil perlawanan bola sepak pelajar

ibu tampar

Wanita tersebut menghampiri pengadil lalu menampar pipinya.- Radio Marca Granada

GRANADA, SEPANYOL – Seorang ibu menyerbu masuk ke tengah padang dan menampar pengadil sebuah perlawanan bola sepak pelajar di Granada, Sepanyol, lapor akhbar Metro UK kelmarin.

Wanita yang identitinya tidak didedahkan itu merupakan waris salah seorang pelajar yang mewakili pasukan pelawat. Pasukan itu kalah 2-4 kepada tuan rumah.

Berdasarkan rakaman video yang dikongsikan, wanita tersebut dilihat menghampiri pengadil lalu menampar pipinya.

Pengadil berkenaan kemudian membalas serangan itu dengan menolak bahu wanita tersebut sebelum beberapa pegawai tiba dan cuba meleraikan pergaduhan mereka.

Insiden itu berlaku sejurus wisel penamat dibunyikan semasa perlawanan bola sepak bawah 12 tahun.

Badan bola sepak belia yang mengelola perlawanan itu mengeluarkan kenyataan yang berbunyi: “Kami mengutuk sekeras-kerasnya sebarang tindakan keganasan di padang bola sepak, terutamanya yang ditujukan kepada pengadil dan individu lain yang terlibat dalam sukan ini.” – AGENSI