Penjawat awam terima rasuah ditahan

sprmmm 1

Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menahan seorang penjawat awam kerana disyaki menerima rasuah berjumlah RM6,000.

Menurut sumber, wang tersebut diterima daripada seorang kontraktor sebagai balasan untuk mendapatkan kerja-kerja membaik pulih rumah daif di sebuah daerah di Selangor.

Katanya, suspek lelaki berusia 40-an itu ditahan kira-kira pukul 2 petang hari ini ketika hadir bagi memberi keterangan di Pejabat SPRM Selangor.

“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut sekitar Jun 2021.

“Suspek menerima wang rasuah daripada kontraktor bagi mendapatkan kerja-kerja membaik pulih rumah daif di bawah Program Pembasmian Kemiskinan Bandar,”katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

Alias berkata, suspek akan dibawa ke Mahkamah Shah Alam pukul 9 pagi esok untuk dituduh di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan. – https://amiminerals.org/