Lelaki tidur bersama aligator

buaya viral

Philippe Gillet bersama haiwan peliharaannya sedang menonton televisyen. – VENANCE

PARIS – Seorang warga emas di barat Perancis mengundang perhatian orang ramai kerana gemar tidur bertemankan seekor aligator sepanjang 2 meter, lapor laman berita Yahoo! semalam. 

Philippe Gillet, 72, tinggal di sebuah banglo yang turut menjadi tempat perlindungan kepada pelbagai reptilia, serangga dan spesies liar lain. 

Antaranya adalah ular Gabon, ular tedung, ular sawa, kura-kura jenis ‘alligator snapping turtle’, labah-labah tarantula, kala jengking dan aligator.

Gillet berkata, haiwan peliharaan dinamakan Gator itu akan tidur di sebelahnya apabila binatang buas itu takut mendengar bunyi petir atau guruh. 

“Apabila petir atau guruh berlaku, Gator akan datang dan tidur di atas katil saya. Orang fikir saya gila. 

“Gator juga gemar menonton televisyen bersama saya,” katanya. 

Gillet tidak menyangka haiwan yang dikategorikan sebagai ganas dan berbahaya itu akan menjadi sebahagian daripada anggota keluarganya. 

Tambah Gillet, dia pernah bekerja sebagai pemburu di Afrika selama 20 tahun dan kerap  menangkap buaya untuk memindahkan binatang buas itu dari kawasan kampung. – AGENSI