SUBANG JAYA – AEON BiG baru-baru ini melancarkan kempen ‘Segalanya Besar’ dengan menyediakan barangan tempatan dan import serta tawaran pilihan, ruangan dan nilai besar bagi memenuhi keperluan pengguna.
Kempen yang dilancarkan julung kalinya itu merupakan usaha kolabrasi dengan rakan kerjasama seperti Etika, Mamee, Mahsuri, Midea, Pensonic, Philips, Tyson dan pelbagai jenama tempatan dan antarabangsa lain.
Pengarah Urusan AEON BiG, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed berkata, inisiatif ini lebih daripada sekadar kempen malah membuktikan komitmen pasar raya itu yang tidak berbelah bahagi kepada komuniti.
Katanya, kempen itu akan berjalan di seluruh 22 cawangan AEON BiG dengan menawarkan banyak pilihan merangkumi pelbagai kategori, ruangan besar untuk keselesaan pelanggan dan nilai lebih bermakna.
“Kami amat berbesar hati melancarkan kempen ‘Segalanya Besar’ sekali gus membuktikan dedikasi pasar raya ini untuk menyediakan nilai dan pengalaman yang luar biasa kepada pelanggan kami.
‘Pelancaran kempen ini juga selaras dengan ‘Orange Day’ yang secara kebetulan diadakan di Subang Jaya hari ini dan di AEON BiG Penang Prai. Untuk pengetahuan, ‘Orange Day’ akan berlangsung sebanyak dua kali sebulan di cawangan yang berbeza dengan menyediakan pelbagai aktiviti menarik buat pelanggan.
“Dengan pelancaran ‘Segalanya Besar’ dan sambutan ‘Orange Day’ hari ini, lebih banyak promosi dan aktiviti menarik sehingga akhir tahun,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran kempen ‘Segalanya Besar’ di AEON BiG Subang Jaya, baru-baru ini.
Pada majlis sama, AEON BiG turut bekerjasama dengan sebuah bank makanan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), The Lost Food Project yang bermatlamat untuk menyelamatkan makanan sebelum diagihkan kepada mereka yang memerlukan.
Melalui kerjasama strategik ini juga, AEON BiG turut mengumumkan inisiatif ‘Kongsi Rezeki’ yang membolehkan pelanggan membeli dan menderma untuk menyalurkan bantuan kepada komuniti B40.
Dalam masa yang sama, AEON BiG juga menyumbang barangan asas bernilai RM10,000 dan kad hadiah bernilai RM3,000 yang akan memanfaatkan 30 keluarga.
Dalam pada itu, Sheikh Farouk berkata, kerjasama ini mencerminkan dedikasi AEON BiG untuk memerangi ketidakjaminan makanan dan memupuk kesejahteraan komuniti.
Ujarnya, kerjasama ini bukan sahaja membantu komuniti kurang bernasib baik tetapi juga selaras dengan komitmen AEON BiG terhadap amalan perniagaan yang mampan dan bertanggungjawab.
“Saya menjemput setiap seorang daripada anda untuk menyertai kami dalam kempen ini,” katanya. -Iteenews