NKISS himpunkan 330 pelajar dari seluruh negara

pix nkss1

Mohd. Azam (dua dari kanan) menyampaikan Anugerah Pemimpin Putera Terbaik NKISS kepada Muhammad Ezzany Irfan.

ARAU – Seramai 330 pelajar tingkatan empat dari seluruh negara ‘berkampung’ di sini bagi menyertai program Nadwah Kepemimpinan Islam Sekolah-sekolah (NKISS) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Peringkat Kebangsaan 2024 yang berlangsung selama empat hari dan berakhir semalam.

NKISS yang bertemakan Adab dan Nilai Menjana Karamah Insa­niah diadakan di Sekolah Menengah Agama (SMA) Al Madrasah Al Alawiyah Ad Diniah dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Arau di sini.

Program NKISS yang dilaksanakan menerusi Bahagian Pendidikan Islam (BPI) KPM itu adalah salah satu inisiatif berterusan kementerian dalam mempersiapkan pelajar dengan ilmu dan panduan sebagai seorang pemimpin yang mempunyai adab, berakhlak serta berintegriti.

Kesemua peserta yang terlibat merupakan pelajar terbaik dan terpilih menerusi nadwah di peringkat negeri masing-masing melibatkan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan sekolah menengah harian.

pix nkss ramai
Tetamu kenamaan, jemputan dan para peserta hadir pada Majlis Perasmian Penutupan NKISS KPM Peringkat Kebangsaan 2024 di Arau semalam. – SHAHIR NOORDIN

Empat objektif pelaksanaan NKISS adalah memberi pengetahuan berkaitan kepimpinan rabbani iaitu kepimpinan yang berlandaskan wahyu Allah SWT; membentuk adab, nilai dan integriti dalam kepimpinan berdasarkan karamah insaniah; memantapkan kemahiran komunikasi berkesan dan membentuk pemimpin murid yang mempunyai identiti nasional berkonsepkan Malaysia Madani.

Penganjuran NKISS bertepatan dengan Tujuh Teras Nadi Keunggulan KPM yang digariskan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek sebagai langkah pemerkasaan sektor pendidikan bagi mempersiapkan kemenjadian murid melalui sahsiah, akademik dan kokurikulum. Salah satu teras tersebut adalah memberi penekanan kepada aspek karamah insaniah melalui pembentukan adab, akhlak dan integriti.

Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan berkata, tema NKISS kali ini iaitu Adab dan Nilai Menjana Karamah Insaniah sewajarnya dihayati dan dijadikan sebagai obor penyemarak jiwa semua peserta yang terlibat dalam program itu dari peringkat sekolah hingga kebangsaan.

“Mereka perlu disedarkan betapa tinggi harapan negara kepada mereka sebagai peneraju kepimpinan masa hadapan.

“Budaya kepimpinan beradab, berakhlak dan berintegriti merupakan model kepimpinan yang perlu dihayati dan dijiwai sepenuhnya.

“Hanya pemimpin yang berwibawa mampu bertahan menghadapi pelbagai dugaan dan cabaran kepimpinan masa kini,” katanya.

Teks ucapan Azman itu dibacakan oleh Rektor Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), Dr. Mohd Azam Ahmad pada Majlis Perasmian Penutupan semalam.
Kata beliau, seorang pemimpin bukan sahaja berkemampuan memimpin dan berilmu pengetahuan, tetapi lebih utama adalah sentiasa menghubungkan tugas­nya dengan Allah SWT atau hablum minallah.

“Ia ditambah dengan satu tugas lagi iaitu membawa orang yang berada di bawah pimpinannya agar bersama-sama mendekatkan diri kepada Allah serta menjadi model yang baik kepada individu yang dipimpinnya,” ujar beliau. -Iteenews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *