Seludup seorang PATI dapat RM200

incollage save 6 scaled

Perodua Alza yang digunakan untuk menyeludup lapan warga Myanmar di Bukit Kayu Hitam, awal pagi tadi.

BUKIT KAYU HITAM – Sepasang kekasih ditahan ketika cuba menyeludup lapan warga Myanmar menggunakan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV), di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd. Redzuan Salleh berkata, pasangan kekasih berusia 21 dan 20 tahun itu ditahan di Kilometer 5.2 Lebuh Raya Utara-Selatan kira-kira pukul 5.20 pagi.

Katanya, lelaki terbabit bekerja sebagai pemandu lori manakala kekasihnya pula tidak bekerja.

“Pada awalnya sepasukan pegawai dan anggota Balai Polis Bukit Kayu Hitam yang membuat tugas pencegahan penyeludupan (Ops Pintas) terserempak dengan sebuah Perodua Alza yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.

“Kenderaan itu seterusnya diekori sebelum ditahan. Pemeriksaan mendapati terdapat seorang lelaki dan seorang wanita tempatan dipercayai menjadi tekong darat bersama lapan warga asing dalam MPV tersebut,”katanya di sini hari ini.

Menurutnya, kesemua warga asing berusia antara 20 hingga 40 tahun itu tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan sah.

“Soal siasat dijalankan mendapati kesemua mereka dalam perjalanan dari Bukit Kayu Hitam ke Sungai Petani. Pasangan kekasih itu dipercayai ditawarkan upah RM200 bagi setiap PATI yang dihantar ke Sungai Petani,”ujarnya. – https://amiminerals.org/