‘Terus setuju terima tempahan Agong’

agong1

MAZNAH menunjukkan gambar Sultan Ibrahim mengenakan samping, tengkolok dan bengkung yang ditenun di rumahnya di Chendering, Kuala Terengganu semalam.

KUALA TERENGGANU – Seorang penenun songket yang menetap di Chendering, di sini berbangga diberi penghormatan untuk menghasilkan samping, tengkolok dan bengkung untuk Yang di-Pertuan Agong ke-17, Sultan Ibrahim bagi upacara pertabalan yang berlangsung baru-baru ini.

Maznah Mat, 62, berkata, dia menerima tawaran tugasan tersebut daripada wakil Istana Negara yang berkunjung ke rumahnya pada Mac lalu.

“Tawaran tersebut amat mengharukan dan tanpa berfikir panjang saya bersetuju.

“Saya ambil masa kira-kira tiga bulan untuk menyiapkan tenunan samping, tengkolok dan bengkung tersebut,” kata­nya ketika ditemui di rumahnya di Chendering di sini semalam.

Maznah mengakui pada mulanya dia agak gugup untuk memulakan kerja-kerja tenunan kerana busana itu akan dipakai Yang di-Pertuan Agong pada ­majlis istiadat bersejarah.

Ibu tujuh anak itu berkata, biarpun berpengalaman selama 48 tahun dan pernah menghasilkan busana songket untuk Kerabat Diraja Terengganu dan Selangor, timbul kerisauan tidak mampu menghasilkan tenunan samping, tengkolok dan bengkung yang sempurna.

“Begitupun perasaan gugup itu hilang sedikit demi sedikit kerana saya percaya tugasan itu diberikan pihak istana kerana yakin dengan kualiti songket yang saya hasilkan.

“Pembuatan samping, tengkolok dan bengkung amat rumit dan memerlukan kesabaran tinggi,” katanya.

Ujar Maznah, proses menerai, menganing benang, menggulung, menyapuk benang, mengarat, menyongket dan menenun itu banyak dibantu anaknya, Syarifah Hanisha Tuan Wook, 22.

Beliau berkata, Syarifah Hanisha yang berkelulusan Diploma Jurusan Tenunan Institut Kraf Negara, Rawang juga banyak menolong membuat lakaran graf berdasarkan corak daun gambir dan lada hitam.

“Menyaksikan Yang Dipertuan Agong tampil dengan busana songket dihasilkan secara siaran langsung istiadat pertabalan tersebut di kaca televisyen pada 20 Julai lalu merupakan momen manis sukar dilupakan.

“Hilang terus penat bekerja siang dan malam untuk menyi­apkan persalinan Yang Dipertuan Agong berkenaan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *