EPL: Krisis dihadapi Arsenal berakhir

ARSENAL 3

ARSENAL menamatkan badi empat perlawanan sebelum ini apabila kembali meraih kemenangan ketika menewaskan Forest pada aksi kelmarin. – AFP

LONDON – Arsenal mengakhiri krisis prestasi selepas gagal meraih kemenangan dalam empat perlawanan Liga Perdana Inggeris sebelum ini apabila berjaya menewaskan Nottingham Forest 3-0 pada aksi di Emirates kelmarin.

Tiga gol yang berjaya dihasilkan menerusi Bukayo Saka, Thomas Partey dan Ethan Nwaneri menyaksikan peluang Arsenal untuk mengejar kedudukan teratas liga kembali realistik biarpun masih ketinggalan di belakang pendahulu, Liverpool ketika ini.

Pengendali The Gunners, Mikel Arteta mengakui peluang mendapatkan lebih ramai pemain pada sesi latihan membantu pasukan itu mendapatkan lebih tenaga dan motivasi sebelum turun melayan kunjungan Forest.

Sebelum ini, Arsenal berdepan krisis kecederaan dan kecergasan pemain apabila mereka yang beraksi dalam perlawanan tidak dapat menyertai sesi latihan ekoran faktor tersebut, namun ia berbeza kali ini.

“Saya perasan mengenai tenaga dan kelebihan yang kami miliki kira-kira 48 jam sebelum perlawanan ini bermula. Kehadiran lebih ramai pemain pada sesi latihan membolehkan kami meningkatkan intensiti.

“Dalam tempoh enam minggu lalu, kami hanya berlatih dengan 12 atau 13 pemain sahaja dan ini buat kali pertama sesi kami disertai 19 pemain. Tahap kualiti, kompetitif dan persefahaman menunjukkan peningkatan. Kami perlu sesi seperti ini berterusan,” katanya.

Kemenangan tersebut menjadi kemenangan pertama buat Arsenal sejak awal Oktober lalu dan kejayaan itu juga cukup istimewa buat Arteta yang membuat penampilan ke-250 sebagai pengedali The Gunners. – AGENSI